Sudah 2 bulan 3 hari saya berada di Reading, United Kingdom. Banyak perkara saya telah lakukan dan pelajari di sini. Sebagai orang Malaysia, makanan tradisional adalah satu perkara yang tidak bisa dipisahkan. Sebagai meraikan 2 bulan berada di sini, saya dan isteri hari ini telah memasak hidangan popular rakyat Malaysia iaitu Nasi Lemak. Untuk hidangan saya ini, saya gelarkannya sebagai Reading Coconut Rice. Orang kata, biar antarabangsa namanya.
Reading Coconut Rice disediakan oleh kami
Di sini saya berbesar hati untuk berkongsi resepi Nasi Lemak ini dengan para pembaca sekalian. Kita mulakan dengan cara-cara memasak nasinya terlebih dahulu.
Bahan-bahannya ialah:
1) Halia setengah inci
2) Bawang besar setengah biji
3) Bawang putih 2 ulas dihiris
4) Garam
5) Santan kelapa
6) Beras
7) Air
Kesemua bahan-bahan ini adalah mengikut keperluan bergantung kepada saiz hidangan anda semua.
Cara-cara menyediakannya ialah :
1) Terlebih dahulu basuh beras.
2) Kemudian, masukkan bahan-bahan yang telah dihiris (bawang besar, bawang putih dan halia) ke dalam periuk nasi yang mengandungi beras
3) Selepas itu, masukkan pula santan. Di sini saya menggunakan santan di dalam tin.
4) Masukkan garam secukup rasa
5) Selepas itu, masukkan air sehingga menepati jumlah air dan tinggi beras mengikut sukatan secukupnya. Itu sahaja. Anda boleh memasaknya!
Selesai bab nasi, kita lihat pula bagaimana menyediakan sambal Reading coconut rice ini.
Bahan-bahannya seperti berikut:
1) Cili kering
2) 1 biji Bawang besar
3) 2 ulas Bawang putih
4) Asam jawa
5) Garam
6) Gula
Sama seperti tadi, kuantiti bahan-bahan ini adalah mengikut keperluan anda.
Ayuh kita lihat bagaimana pula cara memasaknya. Cara-caranya adalah seperti berikut:
1) Kisarkan cili kering, bawang besar dan bawang putih menggunakan Blender
2) Kemudian, sediakan pula air asam jawa dengan memerahnya di dalam air
3) Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan bahan-bahan kisaran tadi dan goreng sehingga pecah minyak
4) Setelah pecah minyak, masukkan air asam jawa. Tambah juga dengan sedikit air. Kacau. Ketika ini juga masukkan garam dan gula secukup rasa.
5) Kemudian, masukkan bawang besar.
Masaklah sehingga anda berpuas hati dengan rasa sambal tersebut.
Selesai bab sambal. Kita perlulah ada penyedapnya iaitu ikan bilis goreng, telur goreng dan ayam goreng. Nampaknya semua bergoreng. Nasi lemak bolehlah dimakan sekali sekala sahaja ya.
Hidangkan juga dengan timun. Alhamdulillah semua, inilah dia Reading Coconut Rice hasil air tangan isteri dan saya.
Reading Coconut Rice @ Nasi Lemak Reading buat anda semua. Selamat mencuba. Makanan Malaysia citarasa antarabangsa.
Salam 1 Malaysia dari saya.
MOHD SHAFIQ ROZALI
READING, UK
No comments:
Post a Comment