Wednesday 31 December 2014

Roll Bread Nutella

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua, harapnya anda semua para pembaca sihat-sihat sahaja ya.

Ada nutella di rumah? Ada roti? Jika ada, apa kata kali ini variasikan sedikit cara makan tu dengan memasak Roll Bread Nutella. Dengarnya seakan sedap dan menarik bukan? Memang sedap pun.

Nak tahu cara-caranya? Mari saya tunjukkan. Senang sahaja.

Kita mulakan dengan bahan-bahannya.


1) Roti

2) Nutella


3) Telur dua biji


Cara-cara membuatnya pula begini.

1) Lenyekkan roti dengan roller atau guna cawan.


2) Sapukan nutella di atas roti yang telah dilenyek.


3) Gulung roti tersebut



4) Kemudian celupkan di dalam telur.


5) Kemudian, di dalam kuali yang telah dipanaskan minyak, goreng lah roti tersebut.

Tadaaa!!! Ini hasilnya. Lazat.

Actually saya buat ini kerana anak saya susah betul nak makan. Memilih juga apa nak dimakan. Maka, buatlah roll bread nutella ini. Sedap je dia makan.

So tunggu apa lagi. Cubalah ya.

Tata!!!

MOHD SHAFIQ ROZALI
READING, UK

Ikan Seabass Masak Stim

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia,

Apa khabar? Harap anda semua sihat sejahtera.

Hari ini saya ingin berkongsi mengenai Ikan Masak Stim mengikut style saya sendiri..hehe..

Kita mulakan dengan bahan-bahannya.

1) Bawang besar 2 biji
2) Bawang putih 3 ulas
3) Halia 1 inci
4) Limau nipis sebiji
5) Cili padi 6-7 batang

6) Ikan Seabass seekor



7) Tomato
8) Sos cili
9) Vegetarian Sauce

Baiklah, kini kita lihat pula cara-cara menyediakannya:

1) Hiris bawang besar, bawang putih, halia, limau nipis, halia dan tomato. Cili padi pula dihiris di tengahnya.


2) Kemudian, di dalam satu mangkuk, tuangkan sos cili dan vegetarian sauce. Untuk lebih enak, masukkan juga sedikit kicap masin.




3) Kemudian, masukkan semua bahan-bahan yang dihiris tadi dan tabur ke atas ikan seperti di bawah ini.

4) Kemudian, masukkan pula campuran sos tadi.


5) Siap untuk dibakar di dalam oven!


Ok, ikan stim ni semestinya sedap dimakan jika dicicah dengan air kicap. So mari saya tunjukkan caranya.

1) Hiris bawang besar, cili padi dan tomato. Masukkan semuanya sekali ke dalam mangkuk.



2) Kemudian masukkan kicap masin. Saya gunakan kicap cap kipas udang.


3)Perah limau nipis supaya air perahan menambahkan kelazatan rasa air kicap. Siap!! Senang sahaja kan.



Jom kita lihat bagaimana hasilnya ikan stim kita tadi! Ini dia!!Nyummmmm





Hidangkan juga bersama timun dan salad. Alhamdulillah sedap. Selamat mencuba ya!

MOHD SHAFIQ
READING,UK

Monday 22 December 2014

My 3rd Wedding Anniversary! : Novel, Puduraya dan Cinta!

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua para pembaca blog yang saya hormati sekalian. Di kala saya menulis tinta ini, jam di Malaysia sudah pun menghampiri 2 pagi 23 Disember 2014 hari Selasa. Saya di sini masih lagi ketinggalan 8 jam di belakang mengikut putaran bumi mengelilingi paksinya dan semestinya juga masih lagi di hari Isnin, 22 Disember 2014. Besar maknanya bagi saya 23 Disember 2014 ini. Ianya adalah hari ulang tahun perkahwinan saya yang ke-3 bersama wanita yang sangat saya cintai iaitu Nurul Aqilah Binti Mohd Zaini ataupun nama penanya di dalam penulisan blog ini Mrs Qyla.

Alhamdulillah genap sudah 3 tahun usia perkahwinan kami berdua semenjak diijab kabul pada 23 Disember 2011 yang lalu selepas solat Asar di kediaman ibu bapa mertua saya di Taiping, Perak. Masih segar lagi di ingatan saya akan hari bermakna tersebut. Dengan sekali lafaz saya menjadi suami yang sah buat isteri saya kini. Syukur pada Allah kami juga dikurniakan rezeki anak yang comel iaitu Muhammad Adam yang menjadi penyeri hidup kami. Segalanya buat kami rezeki dan ujian menjadi penguat tiang seri rumah tangga kami berdua. Banyak liku-liku kehidupan yang berjaya kami harungi bersama. Tahun ini, bagi saya walaupun sedikit kekangan kehidupan iaitu berada di luar negara untuk menyambut hari ulang tahun perkahwinan, keberadaan kami di negara United Kingdom inilah sebenarnya hadiah buat kami berdua bagi meraikan hari ulang tahun perkahwinan yang ke-3. Jika tidak masakan boleh kami sewenangnya membeli tiket melancong ke sini. Indah bukan perancangan Allah. Di sebalik sesuatu itu, ada keistimewaan buat setiap hambaNya. Maka, tahun ini kami sambut hari ulang tahun perkahwinan kami dengan menetap di United Kingdom. Alhamdulillah..=)

Saya pernah berjanji di dalam tinta pertama saya di dalam penulisan blog ini bahawa akan saya ceritakan detik-detik yang menemukan kami berdua sebagai suami dan isteri. Indah sangat bagi diri saya. Ianya bermula pada cuti semester tahun ke 2 kami berdua sebagai pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu pada Disember 2006. Kebetulan ketika itu jika masih di antara anda ingat, berlangsungnya upacara sukan paralimpik bagi Asia dan Ocenia di Kuala Lumpur, FESPIC 2006. Ramai pelajar universiti yang mengambil peluang untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan berbayar bagi melancarkan perjalanan sukan bertaraf antarabangsa tersebut. Saya ketika itu menurut ajakan kawan saya untuk sama-sama menjadi sukarelawan. Maka saya pun isi borang. Di dalam masa yang sama, Allah sudah aturkan bahawa ada wanita yang bakal menjadi isteri saya yang juga turut mengisi borang tersebut, datang dari kolej kediaman UPM yang sama, belajar di UPM, sebaya saya, dan berasal juga dari negeri yang sama iaitu Perak. Indah bukan perancangan Allah? Alhamdulillah.

Saya bertugas sebagai sukarewalan bagi sektor pengangkutan di Stadium Badminton Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur ketika itu. Tugas saya adalah membantu dan mengelola pengangkutan bagi para atlit paralimpik yang menyertai sukan badminton termasuk buat para wartawan asing. Mrs Qyla pula ketika itu bertugas sebagai sukarelawan buat sukan Boccia. Ingin tahu Boccia sila google.

Maka selepas tamat sukan tersebut, masa untuk pulang ke kampung bersama keluarga. Ketika itu, Pudu Sentral masih dikenali sebagai Puduraya. Terminal bas yang sangat terkenal di seluruh negara, tempat warga kota pulang ke kampung dan tempat warga desa datang ke kota untuk bekerja mencari rezeki. Sangat klasik dan nolstalgia buat segenap masyarakat Malaysia yang pernah merasai 'keindahan" dan "rasa" di Puduraya. Kini ianya telah moden dan cantik, sudah ditukar nama sebagai Pudu Sentral. Fungsinya juga bertambah menjadi Urban Transformation Centre KL (UTC). Saya beli tiket bus Konsortium ke Kuala Kangsar. Sementara menunggu ketibaan bas, saya melepaskan penat di tempat duduk sambil membelek akhbar KOSMO. Semasa itu, saya memakai baju sukarelawan FESPIC. Ketika asyik membaca surat khabar, tiba-tiba ada satu suara gadis menyapa saya. Lebih kurang beginilah perbualan kami ketika itu.

" Awak UPM kan? Volunteer FESPIC juga kan?" Mrs Qyla
" Ya UPM, eh macam pernah nampak juga awak ni. Kolej 14 jugak kan" saya
" Ya tu la macam selalu nampak, awak satu course dengan schoolmate saya Bidin kan?"
"Aah" ujar saya senyum.

" Nak balik mana?" saya mengatur langkah perbualan seterusnya.
" Saya nak balik Kamunting, Taiping. Awak lak?" tanya Mrs Qyla
" Oh orang Perak juga, saya nak balik Kuale" jawab saya sambil senyum.

" Eh tolong jaga beg saya jap boleh? Saya nak pergi kedai jual buku. Nak beli novel." tanya Mrs Qyla
" Oh boleh boleh, saya jaga, pergilah beli novel tu"

Allah mengatur supaya isteri saya Mrs Qyla menemui saya, meminta saya menjaga begnya, dan dapatlah dia membeli novel yang dia nak sangat beli itu. Ketika itu, saya rasa lain. Rasa getaran di hati. Dahla satu kolej, satu universiti, kiranya memang akan berjumpa juga di universiti. Sementara Mrs Qyla beli novel, saya rasa gembira dan umpama ada satu sinar bahawa ya saya mesti mengatur langkah seterusnya. " Awek" yang diidamkan di universiti pun tidak kesampaian. =)

Selepas Mrs Qyla membeli novel, dia datang kembali kepada saya. Sementara menunggu ketibaan bas masing-masing, kami berbual-bual. Ketika itu saya masih belum meminta nombor "handphone" Mrs Qyla lagi, tetapi di dalam hati melonjak-lonjak nak minta nombornya cepat. Lagi kebetulan bas kami sebelah-sebelah sahaja di platform. Ya Allah betapa cantik perancangan Mu buat diri kami. Bas Mrs Qyla gerak dahulu, maka saya cepat-cepat minta nombor "handphone" Mrs Qyla. Alhamdulillah tiada halangan, maka Mrs Qyla nampaknya bakal menerima lamaran saya..=).

Bermula dari situlah kami berkenalan, dari pertemuan disebabkan novel di Puduraya sehinggalah ke alam percintaan. Makan bersama di kafeteria kolej, menelaah pelajaran bersama di universiti sehinggalah saya tamat alam universiti, Mrs Qyla menyambung pelajaran ke peringkat Master di UPM. Yang menariknya, "CGPA" saya setiap semester semakin meningkat selepas bertemu cinta hati. Mungkin bahagia , semangat hati dah lain ditambah memang kami "dating" di perpustakaan pun. Gedung ilmu menara budi bak bait lagu UPM. Kami semakin mengenali hati budi, kebaikan dan kelemahan masing-masing. Selepas tamat alam universiti, saya mendapat pekerjaan, Mrs Qyla pula menyambung pelajarannya. Pada Februari 2011, kami mengikat tali pertunangan selepas perhubungan kami mendapat restu kedua ibu bapa kami.

Rezeki nak kahwin orang kata, saya  berjaya di dalam temuduga jawatan tetap Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada hujung Disember 2010.  Selepas itulah saya terus meminta keluarga masuk meminang Mrs Qyla pada Februari 2011. Kami mengikat tali pertunangan selama 10 bulan dan pada 23 Disember 2011 kami diijab kabul sebagai pasangan suami isteri yang sah. Alhamdulillah syukur pada Allah segala perancangan berjalan lancar, keluarga kami masing-masing dapat menerima kami berdua sebagai ahli baru. Memasuki keluarga Mrs Qyla yang besar, adik beradik seramai 11 orang dan saudara mara juga yang ramai memeriahkan hidup saya. Mrs Qyla juga begitu, walaupun saya hanya 3 adik beradik, ianya sangat seronok. Segala pujian hanya bagiMu ya Allah. Syukur rasa di hati sehingga tarikh hari ini, sudah genap 3 tahun usia perkahwinan kami berdua. Anak kami Muhammad Adam adalah rezeki yang sangat bermakna buat kami, penyeri hidup yang comel dan bijak, orang yang bakal mendoakan kesejahteraan kami dunia akhirat. InsyaAllah.

Buat Nurul Aqilah Binti Mohd Zaini, isteriku yang tercinta...

Sudah banyak pahit manis alam rumah tangga dan percintaan sebelum ini kita harungi,
Rezeki dan ujian dari Allah kita hadapi bersama,
Takkan sesekali ku mengabaikan tanggungjawabku sebagai seorang suami dan bapa,
Daku kini berkorban hanya sedikit berbanding dirimu yang telah sarat mengandung dan bertarung nyawa melahirkan zuriatku, berpisahan jauh dariku seorang diri menjada Adam semasa aku berkursus 6 bulan dahulu.

Kini, aku akan sentiasa bersamamu isteriku..
Kerana cinta, kasih sayang dan tanggungjawab,
Aku akan sentiasa memberi semangat dan akan ada di sisimu,
Demi sebuah cita-cita tinggimu,

Dan bukan setakat ini sahaja,
usia kita mendatang akan kita harungi bersama,
walaupun apa yang mendatang,
semoga kita juga akan terus bersama sehingga di alam abadi, iaitu di Akhirat sana..
Syurga impian kita..
Bersama anak kita Adam dan seterusnya kelak..
InsyaAllah

Selamat ulang tahun perkahwinan ke-3 buat isteriku, Nurul Aqilah Mohd Zaini!!Love you so much!!

Shafiq dan Aqilah..=)

Februari 2011..Hari pertunangan kami. Mrs Qyla sampai sekarang bengang kerana saya pakai jersey Harimau Malaya..=p

Alhamdulillah. 23.12.2011, kami diijab kabul

Kau isteriku sehingga syurga
Malam buka hadiah perkahwinan
Sesi bergambar di Kamunting, Taiping

Bersama keluarga sebelah isteri saya. Ibu bapa mertua, adik beradik dan ipar di kediaman isteri saya di Kamunting.

Di rumah saya di Kuala Kangsar

Sesi bergambar di Kuala Kangsar

Di kenduri sebelah saya di Kuala Kangsar

Bersama ibu bapa dan adik beradik saya.
Permata penguat kasih saya kami suami isteri. 11.11.12 Muhammad Adam lahir ke dunia


Kami di hari raya 2013. Saya kurus

Bergambar bersama di Putrajaya. 2014. Ketika ini, Festival bunga api.


Sesi bergambar keluarga 2014 di Putrajaya

Makan malam UKM tahun 2013. Saya botak.

Hari Raya 2014 di Kuala Kangsar

Majlis konvokesyen saya tamat kursus 6 bulan Diploma Pengurusan Awam di PWTC. Isteri sayalah yang banyak berkorban. Saya jauh di Kluang, Johor selama 6 bulan. Isteri menjaga anak seorang diri.
Terima kasih sayang. Ogos 2014

17.09.2014. Di KLIA, sebelum kami berangkat ke UK meninggalkan keluarga untuk beberapa tahun. Mrs Qyla sambung PhD.

Di Broad Street Mall, Reading, UK bersama Santa Claus.

Inilah dua orang permata hati saya. Mrs Qyla dan Adam. Di Birmingham City

Di bandar Reading.. I love you sayang!!!

Inilah dia kisah saya, bermula Novel, Puduraya dan akhirnya cinta!! Saya cintakan isteri saya dan juga anak saya. Semoga ikatan perkahwinan kami berdua diredhai ibu bapa, keluarga dan Allah. Kami berdoa kami hidup di dalam keadaan jalan kehidupan yang lurus bagi mencapai cita-cita di dunia dan di akhirat kelak.

Buat Nurul Aqilah Mohd Zaini..

Terimalah ini sebagai penghargaan buat dirimu, Adam dan mahligai keluarga kita..Happy 3rd Wedding Anniversary sayang!!=)

Salam perantau

Mohd Shafiq Rozali
Reading, United Kingdom
22 Disember 2014 UK
23 Disember 2014 Malaysia







Sunday 21 December 2014

Projek Tanaman Rumah :Transplant Anak Carrot

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua para pembaca budiman. Apa khabar? Harap anda semua sihat sejahtera. Apa perasaan anda Malaysia tewas kepada Thailand? Saya di sini rasa sedih sangat. Yela dah hampir nak menang dah. Tetapi itulah permainan kan.

Nampaknya lama juga saya tidak menulis sebarang entry di blog kesayangan saya ini. Bukan apa, saya agak sibuk mencari pekerjaan. Alhamdulillah saya dah dapat kerja sekarang. Kerja part time sahaja. Menjadi seorang cleaner. Lega saya rasa kerana sebagai suami dan bapa, menjadi tanggungjawab saya mendapatkan wang sampingan bagi menampung perbelanjaan dan kehidupan saya sekeluarga selain bergantung kepada elaun sara hidup bulanan yang diberikan oleh pihak kerajaan.

Menyentuh akan semua perkara yang dinyatakan, semuanya berkisarkan wang, pendapatan. Bila dah ada wang dan pendapatan pun, jangan lupa diri. Ada perkara yang boleh kita jimatkan dalam kehidupan ini. Antaranya ialah tanam sendiri tanaman yang boleh dimakan sebagai langkah penjimatan. Saya pernah menulis entry mengenai masakan Sup Ayam saya sebelum ini di mana daun bawang saya ambil dari pasu di tepi tingkap dapur saya sahaja. Jimat tak perlu beli. Saya juga semai hujung kepala carrot sebelum ini bagi mendapatkan tunasnya. So tunas pun dah menjadi, sudah tiba masa untuk pindahkan anak semaian carrot ke dalam tanah. Nak tanam kat luar, saya takut mati pulak coz suhu sejuk kan. Maka saya tanam dalam periuk lama je. Ambil tanah di luar, dan bawa ke dalam rumah.
Inilah dia tanaman carrot saya!!

Nak tahu bagaimana saya buat? Ini caranya.

1) Mula-mula sekali anda perlulah semai hujung kepala carrot di dalam air. Seperti gambar di bawah. Dalam 3 minggu akan tumbuh la daunnya.



Ini adalah daun bawang dan juga anak-anak carrot saya semai..hehe

Zoom sikit. Ada yang tak elok.

Tanah saya ambil dari halaman belakang rumah. Diletakkan di dalam periuk lama.


2) Kemudian, dah tumbuh daun tu, bolehlah transplant (pindah) anak-anak carrot tu ke dalam tanah agar mereka mendapat nutrien yang cukup dari tanah untuk membesar.

Proses transplant anak-anak carrot..hoho


Berbakti kepada tanah orang kata



Yeah!!!..hehe

Ok saya start balik buat tapak semaian carrot yg baru..hehe

So saya letak je tanaman saya skang ni tepi tingkap. Nak letak luar musim sejuk sangat.

Itu sahaja. Mudah kan. Saya bercadang untuk menanam pelbagai lagi jenis sayuran apabila tamat musim sejuk kelak. Tetapi tanaman di dalam rumah ni bagi saya memang menarik dan mencantikkan dapur. Silalah cuba ya.

Ok itu sahaja.

Daaaa

SHAFIQ
READING