Monday 6 October 2014

Salam Perkenalan. Salam 1 Malaysia. Salam dingin dari bumi Reading Berkshire, UK.

Assalamualaikum pembuka tinta kepada blog yang diilhamkan oleh nasihat rakan-rakan dan terutama isteri tercinta, Mrs Qyla. Buat pertama kali, syukur ke hadrat Ilahi kerana saya masih diberikan kesempatan waktu dan ruang untuk menulis di dalam blog yang tidak seberapa ini.

Izinkan saya memperkenalkan diri. Saya berasal dari Bandar Diraja negeri Perak Darul Ridzuan iaitu Kuala Kangsar. Berumur lewat 20'an dan telah mendirikan rumah tangga. Memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II, Kuala Kangsar dan Sekolah Kebangsaan Raja Muda Musa, Kuala Kangsar. Setelah tamat Darjah 6, saya menyambung pendidikan formal saya di peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Merchu, Kuala Kangsar. Setelah dengan jayanya mendapat keputusan yang baik di dalam PMR, saya menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor atau lebih dikenali sebagai SEMASHUR di kalangan warga SBP (Sekolah Berasrama Penuh). Sekali lagi saya berjaya membanggakan keluarga dengan keputusan cemerlang di dalam SPM dan menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng. Selepas setahun berhempas pulas, saya ditawarkan mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains di dalam bidang Bioteknologi di Universiti Putra Malaysia (UPM). Di UPM saya berjumpa cinta hati saya yakni Mrs Qyla di tahun kedua. Memori novel di Pudu Raya. Itu tajuk kisah cinta saya yang akan saya ulas dalam rangkuman tinta blog pada kesempatan mendatang.

Selepas mendapat segulung Ijazah pada tahun 2008, saya berjaya mendapatkan pekerjaan pertama saya sebagai Pembantu Penyelidik atau dalam Bahasa Inggeris, Research Assistant (RA) di Pusat Penyelidikan Bioteknologi, MARDI Serdang di bawah kelolaan Dr Kamariah Long. Pengalaman pertama kerja ada pahit dan manisnya. Ini juga akan saya kongsikan kelak di bawah tajuk " MARDI: Bioteknologi buat pertama kali dan terakhir". Kenapa ianya terakhir? Kerana hanya empat (4) bulan sahaja saya bekerja di situ, saya "ditawarkan" oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang merangkap pemberi biasiswa saya semasa di UPM sebagai PTD, (Pegawai Tadbir dan Diplomatik) secara kontrak di bawah JPA. Ketika itu tawaran itu boleh dikatakan paksa rela kerana kalau tidak terima, saya perlu menjelaskan ganti rugi kontrak bersama kerajaan berates ribu. Dengan sedih, saya lipat pakaian makmal untuk disimpan di dalam almari buat selamanya.

Meneroka alam PTD tidaklah semudah yang disangka. Bukan segah yang didengar. Bukan seindah dari yang dikhabarkan. Menjadi seorang PTD yang di dalam hatinya dipaksa rela bukan mudah. Saya ditempatkan di Bahagian Pembangunan Kompetensi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 17 November 2008. Ketika itu, pejabat saya di Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur berdekatan dengan Masjid Negara dan Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Belajar merangkak dari kosong, dari seorang yang berstatus kontrak, dari seorang yang pendiam, dari seorang saintis, saya berjaya mengharungi liku-liku kontrak selama dua (2) tahun. Saya berjaya lulus peperiksaan memasuki skim PTD setelah kali ketiga percubaan, sekali proses PTD Assesment Centre (PAC) dan sekali temuduga di bawah bekas KPPA. Setelah dilantik semula sebagai PTD Tetap Lantikan 2/2010 pada 20 Disember 2010, saya ditempatkan sekali lagi di KKM iaitu di Bahagian Sumber Manusia. Di sini saya belajar banyak perkara mengenai sumber manusia dan kebetulan saya diberikan kesempatan untuk menjaga urusan sumber manusia dan pelantikan Pegawai Perubatan. Banyak kenangan manis dan pahit saya di sana. Kemudian selepas dua (2) tahun, saya mengikuti Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) selama enam (6) bulan di INTAN Kluang, Johor. Setelah tamat dengan Cemerlang DPA, saya ditempatkan di Bahagian Kemajuan Industri Getah dan Jatropha, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Jodoh saya tidak lama di sana kerana perjalanan diri ini akan bermula di suatu alam yang baru. Ya, alam yang membawa kepada penulisan blog ini selari dengan tajuknya. Mr Mama!

Saya diberikan rezeki dan peluang oleh Allah S.W.T untuk bercuti tanpa gaji selama tiga (3) tahun mulai 22 September 2014 sehingga 21 September 2017. Saya melepaskan kerjaya saya selama ini adalah bagi menemani isteri dan menjadi penjaga kepada anak comel saya, Muhammad Adam di United Kingdom. Rezeki orang siapa yang tahu, isteri saya mendapat peluang melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah di University of Reading, United Kingdom. InsyaAllah akan saya sokong sebuah pengorbanan ini demi sebuah cita-cita tinggi Mrs Qyla. Doakan isteri saya berjaya termasuk diri saya dan anak.

Ikrar MR MAMA : Abang akan jaga anak kita dengan baik sayang. InsyaAllah Allah ada bersama kita. Pahit manis kita bersama di sini. Keluarga walau jauh nun di sana, ikatan kekeluargaan kita akan kekal kukuh dan mesra. Berjuanglah demi cita-citamu dengan jayanya!

Akhir kalam, ikutilah blog ini bagi mengikuti perkembangan seorang Mr Mama. From the eyes of Mr Mama: Diary of a Father. Biar dalam bahasa Inggeris tetapi jati diri Melayu tetap ada.

Wasalam.

SHAFIQ
Reading Berkshire

No comments:

Post a Comment