Wednesday 22 October 2014

Bagaimana nak cari rumah sewa di UK?

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua pembaca yang dihormati sekalian. Harapnya semua berada di dalam keadaan sihat sejahtera. Buat pengetahuan semua, sudah sebulan saya berada di bumi Reading, United Kingdom. Masih segar dalam ingatan sewaktu berpisah dengan keluarga tercinta di KLIA pada 17 September 2014 dan tiba di Lapangan Terbang Heathrow di London pada 18 September 2014. Saat itu rasa takut pun ada memikirkan mampukah saya sekeluarga hidup di UK ini.Tetapi kini saya sekeluarga semakin yakin yang kami boleh hidup di sini untuk 3 tahun mendatang InsyaAllah.

Alhamdulillah urusan kami sebelum ke UK dan setibanya di sini dipermudahkan Allah. Urusan Visa, cuti, elaun, pertukaran wang Malaysia ke wang Pound, mengosongkan kuarters, menjual kereta dan paling penting rumah di Reading, UK ini semuanya berjalan lancar. Syukur kerana rumah yang kami diami kini diperolehi lebih kurang 3 minggu sebelum kami tiba di UK. Ini semua atas bantuan sahabat saya ketika zaman persekolahan iaitu Azi Aziyanty dan suaminya Hidayat yang kebetulan sudah hampir 2 tahun berada di Reading. Jasa mereka dalam membuat tempahan awal dengan Agen Sewaan rumah, tumpangkan kami sebelum berpindah masuk ke rumah sekarang, bawa kami beli perabot rumah, barang dapur dan banyak lagi urusan setibanya di sini tidak akan kami lupakan. Semoga Allah memberkati kehidupan mereka.

Sehubungan itu ingin saya kongsikan bersama para pembaca yang mungkin akan menetap di UK dan mungkin juga di Reading tentang cara mendapatkan rumah sewa di UK. Luangkan sejenak masa berharga anda kerana mungkin ini perkongsian yang anda inginkan.

Di UK, sistem sewaan rumahnya kebanyakannya akan diuruskan oleh pihak ketiga iaitu "Letting Agent" yang akan menguruskan segala urusan sewaan antara penyewa dan pemilik rumah. Boleh juga kita menyewa dengan pemilik rumah terus tetapi dalam konteks rakyat asing, sukar untuk berbuat demikian atas faktor masa dan sebagainya. Terdapat banyak "Letting Company" di UK ini ibarat kedai runcit. Di mana sahaja boleh kita lihat jika berjalan di sini. Sebagai rakyat asing, semestinya kita perlu tahu apakah laman web yang menawarkan rumah untuk disewa kan? Terdapat beberapa laman web carian rumah sewa yang boleh anda layari. Berikut saya berikan URL beberapa laman web yang saya tahu.

http://www.rightmove.co.uk/

http://m.zoopla.co.uk

http://m.primelocation.com/

http://www.home.co.uk/

http://www.lettingsearch.co.uk/

http://www.gumtree.com

http://www.uklettingagent.co.uk/

Ada  banyak lagi laman web yang boleh anda layari.Mohon saja bantuan Mr Google. Untuk menggunakan laman web carian ini mudah sahaja. Saya gemar dan selesa menggunakan laman web Rightmove. Berikut saya kongsikan cara mencari rumah sewa menggunakan Rightmove secara bergambar.


Rajah 1: Paparan awal jika anda memasuki laman web Rightmove. Di sini anda perlu masukkan kawasan yang akan anda diami. Sebagai contoh di dalam rajah di atas, saya masukkan kata carian Reading, Berkshire. Kemudian klik "To rent"



Rajah 2: Kemudian, anda akan nampak beberapa maklumat mengenai rumah yang perlu anda pilih. Di sini terpulang kepada anda untuk memilih kriteria rumah yang diidamkan. Saya masukkan contoh seperti di dalam Rajah 2 ini.

Property Type : Terdapat "House", "Flat" dan sebagainya.
Number of bedroom: Jika anda mempunyai anak, lebih baik mendapatkan rumah yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 bilik tidur
Price range : terpulang kepada kewangan anda. PCM di dalam sistem ini merujuk kepada "per calendar month"

Kemudian klik "Find Properties"



Rajah 3: Senarai rumah yang akan disenaraikan. Terdapat maklumat seperti sewa bulanan, alamat, jenis rumah, lengkap dengan perabot atau tidak. Untuk makluman, jika dinyatakan unfurnished, jangan risau kerana dapur kebiasaannya akan lengkap dengan peti ais, mesin basuh dan oven. Cuma perlu wang untuk membeli perabot yang lain. Terdapat juga maklumat "letting agent" bagi rumah sewa tersebut dan "contact number" yang boleh anda hubungi.



Rajah 4: Untuk melihat kedudukan rumah-rumah yang disenaraikan di dalam peta, klik sahaja pada "map". Di sini anda bolehlah lihat samada rumah tersebut dekat atau tidak dengan destinasi tempat kerja atau universiti anda kelak. Rajah di atas adalah peta Reading secara keseluruhan.


Rajah 5:  Paparan dikecilkan kepada kawasan yang berdekatan dengan University of Reading. Ini hanya contoh.


Rajah 6: Klik pada ikon biru, akan keluarlah maklumat rumah di situ. Kemudian jika ingin lihat maklumat lanjut, klik pada gambar rumah.


Rajah 7: Maklumat lengkap mengenai rumah. Jika berminat, hubungi sahaja nombor "Letting Agent" yang dipaparkan untuk maklumat lanjut.


Rajah 8 : Maklumat lengkap mengenai rumah



Rajah 9: Klik pada "street view" anda akan dapat melihat keadaan persekitaran rumah tersebut


Rajah 10: Klik pada "Map &School" untuk melihat kedudukan rumah di dalam peta dan juga maklumat mengenai sekolah terhampir dengan rumah anda. Maklumat ini sangat berguna jika anda mempunyai anak yang perlu dihantar ke sekolah. Lebih baik cari rumah yang dekat juga dengan sekolah bukan?


Rajah 11: Contoh rumah di mana tidak membenarkan kanak-kanak untuk menetap di rumah. Ada banyak tuan rumah yang tidak membenarkan kanak-kanak menetap sekali. Jangan terkejut kerana masyarakat di sini amat mementingkan persekitaran yang senyap. Jadi, jangan buang masa anda untuk rumah yang ada dinyatakan "Sorry, no children"


Rajah 12:  Lihat seperti ada graf kan? Itu adalah maklumat EPC (Energy Performance Certificate) iaitu maklumat mengenai guna tenaga rumah tersebut. Makin bagus "rate" rumah tersebut maka kadar penggunaan tenaganya adalah yang terbaik. EPC bergantung juga kepada jumlah bilik rumah tersebut.

Rajah 13 : Maklumat EPC rumah.

TIPS MENCARI RUMAH SEWA:


  • Kenalpasti terlebih dahulu kemampuan kewangan anda. Jika anda seorang pelajar PhD yang menerima tajaan kerajaan di bawah universiti dan Kementerian Pelajaran Malaysia, anggaran elaun bulanan yang akan diterima secara purata adalah 1600 pound sebulan. Maka cari rumah yang sewanya 800 pound ke bawah jika boleh. Jangan risau, bahan mentah di sini murah, Sila baca entry saya bertajuk " 20 Pound? Apa saya dapat? dan juga "Siri 2 : 80 pound? Jom shopping di ASDA".

  • Cari rumah yang berdekatan dengan lokasi tempat kerja atau universiti anda. Ini mampu menjimatkan anda dari membeli kereta dan juga menaiki kenderaan awam seperti bas. Jika dekat anda boleh berjalan kaki atau berbasikal sahaja. Di sini berjalan kaki dan berbasikal adalah lumrah biasa. Lagipun cuacanya tidak seperti di Malaysia.

  • Terus hubungi "Letting Agent" melalui telefon jika berminat. Berdasarkan pengalaman, kadangkala jika kita emel, agak lambat maklumbalas yang diterima. Jika "call" terus lagi senang.

  • Jangan buang masa dengan rumah yang ada dinyatakan "no children" walaupun minat kerana mereka tidak akan layan.

  • Jika anda sudah berkeluarga dan ada anak, carilah rumah yang sekurangnya ada 2 bilik tidur kerana apa yang saya dengar, pihak berkuasa di sini akan membuat semakan terhadap rumah kita samada anak kita mendapat bilik tidur atau tidak. Saya tidak pasti kebenarannya. Tetapi lebih baik kita beringat kan. Isnin depan akan ada nurse dari National Health yang akan melawat anak saya, Rakan di sini menyatakan mereka akan semak juga berapa bilik di rumah kita.

  • Carilah rumah yang mempunyai perabot, dapatlah juga jimatkan wang dari membeli perabot seperti katil dan seumpamanya.

  • Jika tiada perabot, jangan khuatir kerana anda boleh dapatkan perabot terpakai  dengan harga yang murah di kedai terpakai sebagai contoh di British Heart Foundation.

  • Unfurnished di sini bermaksud dapur anda akan lengkap juga dengan peti ais, oven dan mesin basuh. Itu peralatan asas yang sedia ada.

  • Perhatikan tarikh rumah tersebut boleh didiami. Jika masih lewat boleh didiami, agak sukar kerana biasanya "Letting Agent" dan tuan rumah inginkan rumah itu didiami segera. Tapi kalau anda pandai untuk memujuk dan bayar sedikit booking fees mungkin anda akan dapat rumah itu.

  • Jika anda anda rakan di UK lebih baik minta bantuan untuk mereka "view" dahulu rumah tersebut kerana ada masanya rumah yang dipaparkan tidak secantik dan elok seperti digambarkan.

  • Perlu ingat jua bahawa untuk permulaan mendiami rumah sewa di sini, anggaran termasuk deposit dan bayaran lain seperti agent fees adalah lebih kurang 2000 pound. Saya sahaja bayar 2400 pound termasuk 300 pound wang booking fees. Jika darab dengan 5.3 duit Malaysia, kiralah sendiri berapa.
Saya rasakan itu sahaja tips yang saya ingin kongsikan. Diharapkan akan ada yang mendapat manfaat dari perkongsian saya ini. Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, bolehlah komen di ruang komen atau boleh juga hubungi saya di emel ; shafiqiladam1417@gmail.com


Selamat mencuba buat yang akan bekerja atau belajar di sini. Saya mohon maaf jika ada senior yang sudah biasa di UK mendapati maklumat saya salah. Saya hanya menulis berdasarkan pengalaman saya yang baru sebulan lebih di UK ini. Maaf sekali lagi atas kekurangan.

Salam dari Reading, United Kingdom.


Ikhlas

SHAFIQ
Reading





No comments:

Post a Comment