Hari ini bermulalah tahun baru masihi yang ke 2015 tahun. Sudah lama dan tua usia planet Bumi ini mengambil kira usianya pada tahun masihi ini sahaja. Jika dikira sejak kewujudan Khalifah pertama di bumi, iaitu Nabi Adam a.s, sudah berapa agaknya usia bumi ini. Di zaman Rasulullah S.A.W, ketika Baginda di angkat ke langit di dalam peristiwa israk dan mikraj, beliau dipertontonkan akan analogi usia bumi ini. Allah S.W.T memperlihatkan Baginda seorang wanita tua bongkok tiga. Itulah dia usia bumi yang menunggu hari kiamat. Itu pada peristiwa tersebut. Kini bagaimana agaknya?
Apakah matlamat asal kehidupan kita di dunia? Mencari kekayaan dunia untuk hari tua dan anak cucu? Mencipta nama di seluruh pelusuk dunia? Sudah pasti banyak lagi impian-impian seorang manusia di dunia ini. Namun hakikatnya, di sebalik usaha kita untuk hidup di dunia ini, ada matlamat asal kehidupan iaitu menyembahkan diri kepada Yang Maha Esa iaitu Allah S.W.T. Kita ada matlamat lebih besar iaitu menjadikan dunia ini sebagai tempat persinggahan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan laranganNya demi kehidupan kekal abadi di syurga bukannya di neraka! Jika dilihat merentasi semua agama, konsep kewujudan akan Maha Pencipta iaitu Tuhan dipercayai oleh seluruh penganut sesebuah agama. Semua orang percaya akan syurga dan neraka. Neraka digambarkan manusia sebagai tempat yang dasyat dan jahat. Manalaka syurga digambarkan sebagai tempat yang mendamaikan dan baik. Allah telah berkali-kali berpesan di dalam Al-Quran akan ganjaran syurga yang dibawahnya mengalir air sungai, dipenuhi dengan buahan, dihiasi dengan singgahsana dan bidadari jelita. Kehidupan yang abadi, tiada lagi kesulitan hidup, rasa gelisah, tekanan di tempat kerja, tiada kematian. Apa syarat-syaratnya? Semestinya menurut segala perintahNya seperti yang termaktub di dalam Al-Quran dan seperti diajarkan oleh PesuruhNya iaitu Nabi Muhammad S.A.W melalui SunnahNya.
Bagaimana pula dengan neraka? Sama juga seperti syurga, Allah S.W.T telah berfirman di dalam Al-Quran akan balasan dan seksaan yang dasyat di neraka. Api yang menjilat tubuh badan, minuman nanah dan darah, bau hamis dan busuk sesuai dengan keingkaran manusia yang tidak mahu patuh kepadaNya. Manusia selalunya menepis akan hakikat ini. Kita selalunya lupa dan tidak takut kerana kita tidak melihatnya di hadapan mata. Insaflah diri, ianya adalah suatu yang dasyat dan menakutkan. Jika kita takut akan Ketua Jabatan di pejabat kerana tidak dapat melakukan arahan yang diberikan sampai rasa berpeluh, takut akan manusia yang bergelar "Gangster", takut akan terkena minyak panas menggoreng, takut akan api, kenapa kita tidak takut melakukan kejahatan yang bakal dibalas dengan seksaan yang berkali-kali dasyat di akhirat? Itulah kita manusia.
Mutakhir ini, dunia dihiasi dengan pelbagai peristiwa duka. Kezaliman tentera Israel terhadap penduduk Palestin seakan-akan tiada titik noktah dan sudah berterusan sehingga kini sejak tahun 1940 an. Tiada istilah Pengganas buat Israel. Hanya demonstrasi jalanan, boikot dan nota-nota pemberi semangat yang menjadi hiasan media sosial akan kejahatan mereka. Palestin sudah lama berduka. Begitu juga dengan kezaliman kerajaan Syria di bawah diktator Bashar Al Asad. Dek kerana fahaman keagamaan yang terpesong, beliau menghalalkan tentera-tenteranya bagi menyembelih rakyatnya sendiri yang berfahaman Sunnah Islam. Banyak lagi penindasan manusia di dunia ini seperti nasib kaum Rohingya di Myanmar dan di tempat-tempat lain di dunia. Manusia rakus dan ganas melakukan kerosakan di muka bumi. Tiada undang-undang yang adil sebenarnya. Yang kuat menjadi kuat dan yang lemah menjadi semakin lemah. Kerajaan yang penuh rasuah dan penipuan merentasi setiap pelusuk dunia. Nilai pegangan peribadi manusia juga semakin lemah dengan hasutan dunia. Gelaja hedonisme menjadi-jadi, manusia memang sudah gilakan akan hiburan dan hiburan.
Alam fauna juga semakin gondol dan pupus dek tangan-tangan manusia sehingga terjadilah pelbagai malapetaka bencana alam.
Di negara Malaysia, di tahun 2014, peristiwa kehilangan pesawat MAS MH370 menjadi misteri sehingga kini. Di mana pesawat terbabit? Pelbagai teori dibuat bukan sahaja di dalam negara malah di seluruh dunia. Semestinya hanya Allah S.W.T sahaja yang mengetahui akan nasib pesawat dan penumpang di dalamnya. Sekali lagi di tahun 2014, negara dikejutkan dengan terhempasnya pesawat MAS MH17 di Ukraine. Ianya ditembak jatuh oleh satu pihak yang sehingga kini masih tidak ketahuan. Seakan-akan kejahatan yang mengorbankan ramai jiwa yang tidak bersalah menjadi peristiwa yang dilupakan. Keadilan? Itulah dunia seperti digambarkan.
Penghujung 2014 Malaysia sekali lagi diuji dengan malapetaka banjir besar yang melanda beberapa negeri di tanah air. Siapa sangka, air sungai naik mendadak sehingga sekolah 4 tingkat pun hampir tenggelam. Kerosakan harta benda, kehilangan nyawa beberapa orang termasuk pasangan suami isteri yang lemas. Lebih sedih, anak-anak yang masih kecil hilang tempat berlindung dan menjadi yatim piatu. Terlalu dasyat banjir di penghujung 2014 buat Malaysia. Banyak video yang dikongsikan tentang kehancuran yang berlaku oleh hanya air sungai. Seperti peristiwa Tsunami dasyat yang melanda Indonesia dahulu rupanya. Ada hikmahnya di sebalik peristiwa bah besar ini. Manusia bersatu tidak kira agama, bangsa dan fahaman politik demi menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Itulah yang perlu ada dalam jiwa manusia. Dan yang lebih penting, ianya adalah peringatan bahawa kita semakin lalai. Tuhan hanya menggunakan air sungai untuk menguji kita. Bayangkan jika lautan? Takutnya. Semoga kita semua insaf dan kembali ke jalan yang benar dan teruskan perpaduan dan kesatuan ini.
Sebelum masuknya tahun 2015, sekali lagi dunia dikejutkan dengan peristiwa terhempasnya pesawat Air Asia Indonesia, QZ8501 yang mengorbankan ramai jiwa. Semakin banyak ujian dari Tuhan buat manusia. Ianya peringatan demi peringatan bahawa dunia semakin tidak stabil, cuaca semakin tidak menentu. Ingat kembali akan wanita bongkok tiga, itu usia bumi ketika Israk Mikraj, kini sudah bongkok berapa? Ianya adalah tanda kasih sayang Allah supaya kita insaf dari lalai mengejar dunia untuk meluruskan kembali kehidupan ke jalan yang benar.
Buat diri saya, tahun 2014 ditinggalkan untuk meneruskan perjuangan di tanah England ini. Keluarga dan kerjaya saya tinggalkan di Malaysia sebentar demi menunaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa di sini. Demi isteri yang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD, saya rasa ini hanya pengorbanan yang sangat kecil. Saya percaya bahawa perjuangan isteri menerokai ilmu sains ini hanyalah untuk mendekatkan diri kepada Allah bahawa ilmu Allah itu luas. Misteri di sebalik molekul dan mikroorganisma ciptaan Allah. Dan dengan ilmu itu kelak untuk disampaikan kepada anak bangsa dan memberikan manfaat buat semua. Alhamdulillah, saya diberikan rezeki pekerjaan sambilan sebagai "Cleaner" di sini. Cukup buat menampung keluarga. Yang jelas, ini semua adalah ikhlas demi isteri dan anak. Tanggungjawab saya sebagai seorang suami mencari nafkah selain mengharapkan duit elaun yang ditanggung kerajaan setiap bulan.
Akhir kalam, semoga peristiwa demi peristiwa di tahun 2014 dan sebelumnya menjadi permulaan yang lebih baik buat diri saya ini dan kalian semua. Beringatlah kita dalam mengejar dunia ada matlamat utama kita hidup di dunia ini.
Welcome 2015, Sayonara 2014.
Tinta
Mohd Shafiq Bin Rozali
Reading, United Kingdom
1 Januari 2015
No comments:
Post a Comment