Assalamualaikum dan salam sejahtera,
"Kenalah buat Along, nak cari duit"
Nasi lemak. Hidangan istimewa orang Melayu di Malaysia yang menjadi makanan rutin buat semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. Semua orang suka makan nasi lemak dan ia amat mudah didapati di mana-mana sahaja di Malaysia. Saya juga suka nasi lemak dan saya berkesempatan untuk memasak nasi lemak petang semalam. Sebenarnya tidak dirancang, tetapi apabila isteri saya pulang dari kampus, dia mengadu kelaparan. Maka, memikirkan yang saya ada santan serbuk, ikan bilis dan sos cili, saya ingin buat nasi lemak. Ya saya sendiri, bukan atas bantuan isteri. Tidak pernah dalam hidup saya, saya sediakan sendiri nasi lemak.
Buat pengetahuan semua, ibu saya yang saya panggil Ma adalah peniaga nasi lemak. Setiap hari, Ma akan bangun pada jam 4 pagi untuk buat nasi lemak. Hari sebelumnya Ma akan tekun mengupas ikan bilis untuk dibuat sambal. Sambal ikan bilis Ma sangat istimewa. Belum pernah saya rasakan di mana-mana jua di Malaysia. Bukanlah hendak riak, tetapi ianya sangat sedap. Selalu juga sambalnya sahaja ditempah jiran untuk dimakan bersama nasi atau roti bersama anak cucu yang pulang ke kampung ketika cuti umum. Hari sebelumnya juga, Ma dan ayah saya, Aboh akan gigih mencari daun pisang di sekitar Kuala Kangsar menaiki motosikal sebagai pembungkus nasi lemak yang akan dijual. Kadangkala, sampai ke Ipoh mencari daun pisang sambil kesempatan yang ada melawat opah yang menetap di Ipoh. Kemana sahaja Ma pergi, asal nampak sahaja pokok pisang, Ma akan teruja dan sering mengatakan; "Bestnya Along , daunnya banyak, rasa nak ambil sahaja". Saya pula akan tersenyum lalu berkata " Orang punya tu Ma. Memang gila daun pisang Ma ni" Sehinggakan hari sebelum saya berangkat tinggalkan Malaysia pun, Ma nampak daun pisang di sekitar home stay yang saya sewakan dan seperti biasa teruja melihatnya. Itulah ibu saya.
Berbalik semula kepada kisah yang bermula jam 4 pagi buat Ma, selepas menanak nasi lemak, Ma akan gigih membungkus nasi lemak dengan daun pisang yang telah dicari. Selepas itu, jam 6 sesudah subuh, dengan sebakul nasi lemak dalam 40-50 bungkus akan dibawa menaiki motosikal ke "stall" nasi lemak Ma yang berada lebih kurang 500 meter dari rumah kami. Ma menjual nasi lemak dan juga kuih-muih yang diletakkan oleh para peniaga lain.Setiap kuih yang dijual, Ma akan ambil sedikit untung. Sementara itu, di rumah pula. ada lagi sebakul nasi lemak yang ditinggalkan untuk Aboh pula hantar ke "stall" nasi lemak yang berada berdekatan Stesen Bas Kuala Kangsar. Di situ, Aboh dan Ma pula yang akan diambil sedikit keuntungan di atas setiap bungkusan yang dijual oleh pemilik "stall" tersebut. Duit keuntungan di "stall" ini akan dapat setiap 4 hari. Sementara duit harian hasil jualan di "stall" Ma pula akan diguna sebagai modal harian membeli barang dapur dan barangan membuat nasi lemak keesokan harinya. Hasil nasi lemak ini Ma simpan untuk kegunaan adik saya kini yang sedang menuntut di UIA. Hasil jualan ini juga dulu menampung saya yang kini berada di UK dan adik lelaki saya kini yang bekerja sebagai seorang Jurutera. "Kenalah buat Along, nak cari duit" itulah prinsip Ma dan Aboh dalam mencari duit sampingan selain duit gaji Aboh sebagai seorang pemandu gred R3 jabatan kerajaan. Aboh juga sebenarnya adalah pesakit buah pinggang yang setiap minggu menjalani rawatan dialisis. Saya bangga mempunyai ibu dan ayah yang berjaya mendidik kami adik beradik menjadi manusia berguna. Walaupun hidup susah, satu-satu langkah berjaya dilangkau. Memang tidak terbalas jasa Aboh dan Ma. Nasi lemak yang selalu dimakan bukanlah hanya sekadar makanan buat saya, tetapi ingatan kepada ibu dan ayah saya terutama Ma.
Setelah berjaya membuat nasi lemak semalam untuk dimakan oleh isteri dan anak saya, saya betul-betul teringatkan nasi lemak Ma, Ma dan Aboh di kampung. Sedapnya. Saya pula dengan tidak mempunyai daun pandan, daun pisang, timun dan cili kering yang ditumbuk berjaya juga menghasilkan hidangan yang saya kira berjaya. Sedap dipandang dan lazat dimakan. Di bawah ialah gambar nasi lemak yang saya berjaya masak.
Resepinya para pembaca boleh dapatkan di internet. Mudah sahaja cara menyediakannya. Nasi lemak saya ringkas tetapi cukup untuk membuat kejutan kepada isteri saya. Itulah nasi lemak dalam hidup saya.
Nasi Lemak, ingatan buat ibuku.
Salam Rindu:
Anakkmu
Mohd Shafiq Rozali
Reading, UK
No comments:
Post a Comment