Assalamualaikum para pembaca,
Pada pagi ini, saya ketiduran selepas solat Subuh. Terjaga sahaja dari tidur kedengaran bunyi orang memasak di dapur. Dalam masa yang sama juga, anak saya Adam juga bangun dari tidurnya. Kami berdua pergi ke dapur untuk melihat apa yang Mrs Qyla masak pagi ini. Sebelum ke dapur, dalam fikiran saya mungkin Mrs Qyla goreng sosej dan juga roti prata untuk dimakan.
Masuk sahaja ke dapur, alangkah terkejutnya saya apabila terlihat inti karipap sudah tersedia dan Mrs Qyla sedang tekun menguli tepung untuk membuat doh karipap. Dalam hati saya, syukurnya dapat isteri yang kreatif sebegini. Rajin sungguh Mrs Qyla hendak membuat karipap pada pagi ini. Suami yang baik ialah suami yang membantu isterinya. Saya pun membantu Mrs Qyla dalam menyediakan karipap. Saya belajar bagaimana untuk "kelim" karipap. Isteri saya ini katanya sudah lupa bagaimana untuk "kelim" karipap sebagaimana yang pernah diajarkan oleh ibu mertua saya dahulu. Tidak mengapa sayang, janji boleh digoreng.
Tatkala ini, kami berdua rasa gembira kerana kalau di Malaysia, kami tidak pernah membuat karipap sendiri. Semuanya pasti akan dibeli sahaja. Semuanya mudah kalau di Malaysia kerana mempunyai kewangan dan kenderaan. Di UK ini, sudah pasti kami perlu beringat dan berjimat kerana elaun bulanan yang diterima cukup-cukup sahaja untuk semua bayaran. Tunggulah sehingga semuanya stabil, Mrs Qyla dengan projek PhD dan saya dapat mencari masa terbaik untuk bekerja. InsyaAllah doakan ya saya dapat kerja yang halal.
Inilah karipap yang kami berjaya hasilkan pagi ini.
Rupanya mungkin tidak cantik seperti karipap yang biasa dibeli di kedai atau warung, tetapi Alhamdulillah rasanya, kelembutannya menjadi. Sangat sedap bagi saya. Bukan untuk bodek, tetapi memang betul sedap. Biarlah tidak cantik luarannya tetapi apabila dinikmati sedap dan mengenyangkan. Anak saya Adam pun suka dan makan tiga (3) biji karipap ini. Mrs Qyla pula bawa empat (4) biji karipap sebagai bekal makan tengahari di Universiti. Saya jadikan ini juga sebagai makanan tengahari saya. Kenyang, syukur ya Allah.
Biarlah tidak cantik luarannya tetapi apabila dinikmati sedap dan mengenyangkan
Sengaja saya "bold" dan "underline" perkataan ini kerana saya hendak kaitkan karipap ini dengan analogi manusia. Manusia diciptakan oleh sang Maha Pencipta dalam pelbagai rupa. Ada yang putih, ada yang hitam. Ada yang cantik dan ada yang buruk. Ada yang sempurna ada yang cacat. Semuanya ini mungkin pada pandangan manusia biasa akan memberikan perbezaan ketara di dalam kehidupan.
Ada manusia rupanya kacak, jelita dan cerah sehingga menarik perhatian ramai tetapi dari sudut akhlaknya, adalah seteruk-teruk manusia. Ada manusia pula rupanya hodoh, gelap, berjerawat, mungkin juga cacat, tetapi akhlaknya mungkin adalah sebaik-baik manusia. Di dalam Islam juga, seorang lelaki yang hendak mencari pasangan hidupnya disarankan di dalam Al-Quran supaya mencari yang baik akhlaknya biarlah wajah tidak cantik. Kerana dengan akhlak yang baiklah dapat sang suami hidup tenang dan bahagia bersama isteri membina kehidupan sempurna dunia dan akhirat. Begitulah analogi antara karipap kami tadi dan sifat manusia. Alhamdulillah saya dapat isteri yang baik akhlaknya, cantik di mata saya, bijak dan dikurniakan anak yang comel.
Sekian sahaja tinta kali ini. Fikir-fikirkan.
Salam.
Shafiq
Reading
No comments:
Post a Comment