Sempena Bajet 2015 diumumkan oleh YAB PM Malaysia di hari Jumaat yang mulia ini, semua orang di Malaysia dan rakyat Malaysia di luar negara tidak kira di mana jua mula memperkatakannya. Seperti anda semua, saya juga mempunyai pandangan tersendiri mengenai pengumuman Bajet 2015 tersebut. Apa yang ingin saya katakan adalah tidak semua intipati bajet tersebut boleh memuaskan hati semua pihak. Ada yang mengutuk, ada yang bersyukur, tetapi janganlah sampai kita berbalah sesama sendiri. Yang penting bagaimana untuk kita merancang kehidupan kita sendiri, bagaimana sistem pengurusan kewangan kita perlu difikirkan, bagaimana untuk mendapatkan pemilikan rumah tatkala harga rumah meningkat di samping harga barang yang juga meningkat seiring dengan peningkatan harga minyak. Dahulu dengan wang RM50 banyak yang boleh kita dapat dari kedai runcit atau pasaraya. Tetapi kini RM50 umpama RM10 atau RM20 dirasakan nilainya. Saya bukanlah pakar ekonomi, justeru saya bukanlah ahlinya untuk berbicara tentang susut nilai matawang.
Apa yang saya ingin kongsikan pada tinta kali ini mungkin boleh dijadikan perbandingan atau tidak. Itu tidak pasti. Terpulang kepada kebijaksanaan para pembaca. Sekadar ingin berkongsi cerita tentang apa yang saya boleh beli dengan 20 pound di Reading, United Kingdom.
Semalam saya berkesempatan bersama anak saya, Adam untuk membeli barangan dapur di kedai runcit di sini. Saya memilih untuk ke kedai runcit kegemaran saya iaitu di Costcutter. Kedai ini terletak di Christchurch Road, berhadapan dengan University of Reading. Kedai ini juga menjual daging dan ayam halal. Banyak juga barangan runcit halal yang boleh didapati di Costcutter. Para pekerjanya juga adalah beragama Islam. Justeru adalah menjadi pilihan saya untuk ke kedai ini. Seperti biasa, orang yang tidak mempunyai kenderaan seperti saya ini hanya berjalan kaki sahaja ke kedai ini. Jarak dari rumah saya ke Costcutter adalah dalam 10-15 minit berjalan kaki bergantung kepada kelajuan anda berjalan. Adam, anak saya mestilah berada di dalam "stroller".
Kelihatan anak saya, Adam tidak mahu berada di dalam "stroller". Tetapi hanya separuh jalan sahaja, separuh lagi akibat kepenatan, tewas juga akhirnya Adam.
Kedai Costcutter, di dalam Bahasa Malaysia anda terjemahkan sendiri.
Suasana deretan kedai berjiran dengan Costcutter
Lama juga saya berada di Costcutter mencari barangan dapur yang dipesan isteri. Tatkala ini isteri saya sibuk di universiti. Berikut adalah gambar-gambar selepas membeli belah.
Saya dapat tiga beg plastik dan beras 5kg dengan jumlahnya 19.45 pound.
Tentu para pembaca ingin tahu apa yang saya dapat dengan jumlah 19.45 pound itu kan? Berikut adalah senarai barang yang saya dapat beli :
1) Beras 5kg - 3.99 pound
2) Handwash liquid - 1 pound
3) Pewangi rumah Airwick - 1 pound
4) Jus tropika 3 kotak besar - 1.20 pound promosi untuk 3 kotak
5) Keropok kentang 2 paket - 90 pence promosi untuk 2 paket (pence ialah sen)
6) Limau Mandarin 4 biji - 45 pence sebiji
7) Bawang besar - 3 biji _tidak pasti harganya dalam 1 pound mungkin
8) Ubi kentang 2 kg (ada 17 biji) - 1.45 pound
9) Sos cili - 99 sen
10) Sardin tin- 2 tin setiap satu 99 pence
11) Roti Kingsmill - seperti Gardenia di Malaysia- saiz besar - 1 pound tidak silap
12) Biskut pelbagai jenis (variety) - 3 paket - setiap paket 1 pound
Saya tidak dapat resit sebagai bukti, tetapi jujur dan ikhlas saya katakan inilah yang saya dapat. Anda boleh kira dan hasilnya adalah dalam 19 pound lebih. Bagi saya ini sudah cukup baik dan menguntungkan kerana murah kalau dikira dalam pound. Jika didarab dengan ringgit nilainya sudah pasti mahal. Perbandingan sebegitu bagi saya tidak boleh.
Gambar barangan yang dapat saya beli.
Untuk pengetahuan anda, di sini juga terdapat GST seperti. Digelar sebagai VAT (Value Added Tax). Selalunya jika saya membeli belah barangan runcit dari pasaraya ASDA (seperti Tesco dan Giant), di resitnya akan tertulis VAT. Untuk pembelian di Costcutter saya tidak pasti. Apa yang saya boleh simpulkan adalah barangan mentah untuk dimakan di sini adalah murah dan ini mengurangkan beban rakyat di sini. Ada juga yang mahal di sini tidak semuanya murah contohnya seperti barangan elektronik. Rumah juga mahal dan rumah yang saya sewa juga mahal. 850 pound sebulan.
Kepada para pembaca yang bijaksana dan budiman, tinta ini diingatkan sekali lagi mungkin boleh dibuat perbandingan atau sebaliknya. Terpulanglah kepada anda untuk menilainya.
Sekian, terima kasih.
SHAFIQ
Reading
No comments:
Post a Comment